Penulisan Fakta (Budaya Membaca Serta Usaha-Usaha Yang Perlu Dilakukan)
Cara membina perenggan pendahuluan
Terdapat pelbagai jenis perenggan. Untuk memulakan sesuatu perenggan pendahuluan, para pelajar perlu mengemukakan ayat rangsangan Ayat rangsangan ialah ayat yang berfungsi untuk merangsang pembaca untuk membaca karangan tersebut seterusnya dan meninggalkan kesan yang bermakna kepada pembaca atau pemeriksa.
Oleh itu, dalam penulisan perenggan pengenalan jenis umum ini para pelajar perlu mampu untuk menulis ayat-ayat yang menarik, merujuk kepada tema berdasarkan soalan karangan dan isi yang dikaitkan secara umum. Tambahan lagi, para pelajar hendaklah mengajukan ayat contoh di mana ayat contoh tersebut merujuk kepada contoh tema.
Kemudiannya, para pelajar perlu menulis ayat arah yang mana ayat arah tersebut dikaitkan dengan arahan atau tugasan. Akhir sekali, sebelum penutup perenggan pendahuluan, para pelajar hendaklah menggunakan penanda wacana.
Cara membina perenggan isi.
Selepas perenggan pendahuluan, para pelajar perlu menulis perenggan isi pula. Pada kebiasaannya, isi yang pertama terletak pada perenggan kedua, isi yang kedua terletak pada perenggan ketiga, isi ketiga terletak pada perenggan keempat dan isi keempat terletak pada perenggan kelima. Dari segi isi, para pelajar dikehendaki menulis hanya satu isi pada setiap perenggan dan tidak boleh lebih. Namun demikian, para pelajar boleh menulis isi-isi sampingan yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi huraian dan hujahan.
Dalam sesuatu perenggan, para pelajar perlu mengemukakan satu tema atau kata kunci isi untuk menulis karangan. Tema atau kata kunci isi tersebut ialah apa isi yang hendak diperkatakan. Selepas mengemukakan satu tema atau kata kunci isi, para pelajar perlu mengemukakan ayat huraian yang terdiri daripada tiga ayat huraian. Ayat huraian pertama mengandungi mengapa dan tentang isi tersebut. Penanda wacana juga boleh digunakan dalam ayat huraian pertama untuk memulakan sesuatu ayat.
Manakala bagi ayat huraian kedua, para pelajar menulis ayat huraian isi seterusnya dan mengajukan bagaimana isi tersebut berlaku ataupun terjadi. Ayat huraian ketiga pula, para pelajar mengolah ayat huraian isi selanjutnya dengan menggunakan perkataan kenapa dan berkaitan keterangan isi selanjutnya.
Jika para pelajar menulis ayat contoh dalam karangan tersebut, maka karangan tersebut adalah karangan yang baik. Malah, pemeriksa juga akan lebih terpegun dengan karangan yang ditulis oleh pelajar tersebut. Untuk memasukkan ayat contoh dalam sesuatu karangan, para pelajar hendaklah membaca. Ini kerana membolehkan para pelajar mengaitkan isi dengan contoh semasa. Bagi ayat penegas pula, para pelajar perlu tegaskan semula isi.
FORMULA= TEMA/KATA KUNCI ISI + AYAT HURAIAN + AYAT CONTOH + FRASA MENARIK + AYAT PENEGAS.
Cara membina perenggan penutup
Bagi perenggan penutup pula, para pelajar perlu membuat satu kesimpulan keseluruhan berkaitan tema yang telah dipilih. Kesimpulan yang dibuat hendaklah bersifat lebih umum dan padat. Ayat dalam perenggan penutup mengandungi kata penyimpul, ayat cadangan dan juga ayat harapan.
FORMULA= KATA PENYIMPUL + AYAT CADANGAN + AYAT HARAPAN
Contoh karangan: Budaya membaca serta usaha-usaha yang perlu dilakukan.
-Perenggan Pengenalan
Kriteria | Contoh Ayat |
Jenis Umum | Budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia masih berada pada takuk lama. |
Ayat Rangsangan 1 | Satu kajian yang telah dilakukan menunjukkan bahawa purata membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia ialah sehelai muka surat untuk satu tahun. |
Ayat Rangsangan 2 | Contoh negara yang boleh kita jadikan teladan ialah Negara Jepun. |
Ayat Rangsangan 3 | Masyarakat Malaysia kurang cenderung ke arah pembacaan buku. |
Ayat Penegas | Persoalannya, apakah usaha-usaha yang lebih efektif yang harus kita lakukan agar budaya membaca di Malaysia setanding dengan negara Jepun. |
-Perenggan Isi
Pembinaan Perenggan Isi (Pertama)
Kriteria | Contoh Ayat |
Ayat Judul | Ibu bapa merupakan elemen yang signifikan dalam usaha memupuk budaya membaca dalam kalangan generasi muda. |
Ayat Huraian 1 | Ibu bapa merupakan orang yang paling rapat dengan anak-anak dan banyak meluangkan masa bersama-sama mereka. |
Ayat Huraian 2 | Ibu bapa harus sepatutnya memberikan nasihat kepada anak-anak tentang kepentingan ilmu pengetahuan dan peranan mereka pada masa hadapan yang penuh cabaran. |
Ayat Huraian 3 | Ibu bapa juga harus acap kali membawa anak-anak ke perpustakaan awam dan ke kedai buku untuk memberikan peluang kepada anak-anak mereka mencari buku-buku yang disukai mereka. |
Ayat Contoh | Hal ini sedikit sebanyak dapat menyemarakkan semangat membaca dalam kalangan mereka dan mengajak mereka berjinak-jinak dengan bidang ilmu. |
Frasa Menarik | Perdana menteri, Datuk Seri Abdullah bin Ahmad Badawi sering menyeru ibu bapa supaya mengamalkan sikap bapa borek, anak rintik dalam usaha memupuk tabiat membaca dalam kalangan anak-anak. |
Ayat penegas | Oleh sebab itu, pada pendapat saya ibu bapa memainkan peranan penting dalam usaha memupuk minat membaca dalam kalangan generasi muda. |
Pembinaan Perenggan Isi (Kedua)
Kriteria | Contoh Ayat |
Ayat Judul | Para guru dan pihak sekolah juga perlu memainkan peranan dalam usaha meningkatkan budaya membaca dalam kalangan pelajar. |
Ayat Huraian 1 | Hal ini adalah kerana guru merupakan individu yang kedua selepas ibu bapa yang mampu menjadi contoh dalam tanggungjawab mendidik. |
Ayat Huraian 2 | Guru kelas contohnya, perlulah mewujudkan suasana bacaan di dalam kelas seperti menyediakan perpustakaan mini. |
Ayat Huraian 3 | Pihak sekolah perlulah memainkan peranan dalam menganjurkan program membaca. |
Ayat Contoh | Antara program yang boleh diketengahkan ialah program NILAM bacaan waktu pagi dan program Akhbar Dalam Bilik Darjah atau singkatannya ADD. |
Ayat penegas | Dengan itu, para guru dan pihak sekolah haruslah menggiatkan usaha-usaha yang telah sedia ada |
Pembinaan Perenggan Isi (Ketiga)
Kriteria | Contoh Ayat |
Ayat Judul | Peranan penerbit buku itu sendiri penting untuk menarik minat para pembaca. |
Ayat Huraian 1 | Mereka seharusnya lebih peka dalam menjadi kanak-kanak dan pelajar sekolah sebagai sasaran mereka. |
Ayat Huraian 2 | Penerbit-penerbit buku perlu bijak menggunakan kecenderungan ataupun kegemaran generasi muda masa kini. |
Ayat Huraian 3 | Selain itu, genre buku yang digemari para pelajar ataupun remaja pula perlu diambil berat. |
Ayat penegas | Oleh sebab itu, pihak penerbitan buku perlulah mengambil langkah dengan kadar segera untuk menjadikannya satu realiti. |
Pembinaan Perenggan Isi (Keempat)
Kriteria | Contoh Ayat |
Ayat Judul | Selain peranan penerbit buku, media massa juga mempunyai pengaruh yang besar untuk menyebarkan sesuatu berita ataupun info terkini. |
Ayat Huraian 1 | media elektronik seperti radio, televisyen dan Internet perlulah mampu memberikan kesan kepada penonton atau pendengar dan menepati kehendak dalam memupuk budaya membaca. |
Ayat Huraian 2 | Bagi media cetak pula, mereka hendaklah menyediakan artikel-artikel yang menarik dan secara tidak langsung para pembaca akan membaca dan terus membaca sehingga ke muka surat yang terakhir. |
Ayat Huraian 3 | Berita-berita dan isu semasa yang dipaparkan dalam media massa haruslah merangkumi semua peringkat umur. |
Ayat penegas | Sesungguhnya, peranan media massa mampu menjadikan masyarakat Malaysia masyarakat yang cinta akan buku. |
- Perenggan Penutup
Kriteria | Contoh Ayat |
Kata Penyimpul | Secara intihannya, budaya membaca di negara kita akan berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara Jepun dengan adanya kerjasama semua pihak. |
Ayat Cadangan | Kita harus menggembleng tenaga untuk bersama-sama berusaha mencari alternatif terbaik bagi mengalakkan masyarakat kita membaca. |
Ayat Cadangan 1 | Masyarakat kita harus disemai dengan budaya membaca sebagai satu rutin hidup yang mendatangkan manfaat yang amat berguna. |
Ayat Harapan | Oleh sebab itu, semua pihak terutamanya ibu bapa perlulah menjalankan tanggungjawab memupuk budaya dan membaca agar generasi masa hadapan lebih efektif dan berkeupayaan. |