28 May
28May

Karangan yang baik haruslah diolah dengan mengembangkan isi iaitu menghuraikannya sambil mengemukakan bukti atau contoh yang sesuai. Dalam hal ini, kita jarang-jarang sekali mendengar murid menghadapi masalah untuk mendapatkan isi karangan. Namun demikian, kebiasaannya murid menghadapi masalah untuk mengolah atau mengembangkan isi karangan tersebut. Mereka selalunya menghadapi masalah untuk mengembangkan isi tersebut agar menjadi satu kesatuan idea dalam perenggan-perenggan karangan. Isi tersebut perlu dikembangkan menjadi satu pertautan idea antara satu perenggan dengan perenggan yang lain.

Murid-murid juga selalunya menghadapi masalah untuk menulis karangan yang menepati jumlah perkataan, seperti yang dikehendaki oleh soalan. Kerap kali berlaku, murid-murid menulis karangan yang jumlah perkataannya kurang daripada yang telah ditetapkan oleh soalan. Perenggan karangan juga biasanya tidak seimbang kerana terdapat perenggan yang panjang dan ada pula perenggan yang pendek. Perkara ini berlaku kerana murid-murid tiada teknik atau cara yang boleh membantu mereka untuk mengembangkan isi karangan agar seimbang antara perenggan. Oleh hal yang demikian, guru akan membincangkan teknik atau cara-cara untuk mengolah atau mengembangkan isi karangan agar karangan yang dibina menarik dan indah.

Untuk menghasilkan karangan yang baik, empat proses yang berikut perlu diikuti oleh pelajar, iaitu:
i. Membaca semua soalan
ii. Membuat pemilihan dan perancangan
iii. Menulis karangan
iv. Membuat semakan

Selepas proses pertama dan kedua itu dilakukan, barulah murid menjalankan proses yang ketiga iaitu menulis karangan. Proses menulis karangan akan melibatkan pengolahan dan pengembangan isi karangan yang diperoleh dalam proses yang kedua. Proses inilah yang paling rumit dan mencabar kebolehan, kemahiran dan pengetahuan murid. Oleh hal yang demikian, proses yang ketiga ini perlulah diberikan tumpuan utama kerana markah karangan murid akan ditentukan oleh proses yang ketiga ini.

Teknik Mengolah Karangan dengan Menggunakan Formula
1. Pendahuluan
i. ARCAPW (Ayat Rangsangan + Ayat Contoh + Ayat Arah + Penanda Wacana)

Contoh perenggan pendahuluan 

Budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia masih berada pada takuk lama. Bilangan mereka yang membaca kini boleh dihitung menggunakan jari. (AR) Satu kajian yang telah dilakukan menunjukkan bahawa purata membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia ialah sehelai muka surat untuk satu tahun. Contoh negara yang boleh kita jadikan teladan ialah Negara Jepun. (C) Kadar membaca di negara matahari terbit ini dikatakan paling tinggi di Asia. Namun, di negara kita lain pula kisahnya. (A) Masyarakat Malaysia kurang cenderung ke arah pembacaan buku. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang lebih efektif yang harus kita lakukan agar budaya membaca di Malaysia setanding dengan negara Jepun. (PW)


2. Isi Karangan
i. IAHC(FM)AP (Kata Kunci Isi + Ayat Huraian + Ayat Contoh + Frasa Menarik + Ayat Penegas)

Contoh perenggan isi

Ibu bapa merupakan elemen yang signifikan dalam usaha memupuk budaya membaca dalam kalangan generasi muda. (I) Ibu bapa merupakan orang yang paling rapat dengan anak-anak dan banyak meluangkan masa bersama-sama mereka. (AH) Ibu bapa harus menyediakan bahan bacaan yang menarik dan berunsur positif kepada anak-anak mereka serta menggalakkan mereka supaya membaca dan menggunakannya secara maksimum. Di samping itu, ibu bapa harus sepatutnya memberikan nasihat kepada anak-anak tentang kepentingan ilmu pengetahuan dan peranan mereka pada masa hadapan yang penuh cabaran. (AH) Selain itu, ibu bapa juga harus acap kali membawa anak-anak ke perpustakaan awam dan ke kedai buku untuk memberikan peluang kepada anak-anak mereka mencari buku-buku yang disukai mereka. (AH) Hal ini sedikit sebanyak dapat menyemarakkan semangat membaca dalam kalangan mereka dan mengajak mereka berjinak-jinak dengan bidang ilmu. Lebih mudah sekiranya ibu bapa dapat mewujudkan perpustakaan mini di rumah. (AC) Perdana menteri, Datuk Seri Abdullah bin Ahmad Badawi sering menyeru ibu bapa supaya mengamalkan sikap bapa borek, anak rintik dalam usaha memupuk tabiat membaca dalam kalangan anak-anak. (FM) Oleh sebab itu, pada pendapat saya ibu bapa memainkan peranan penting dalam usaha memupuk minat membaca dalam kalangan generasi muda. (AP)


3. Penutup/kesimpulan
i. KPACH (Kata Penyimpul + Ayat Cadangan + Ayat Harapan)

Contoh perenggan penutup

Secara intihannya, budaya membaca di negara kita akan berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara Jepun dengan adanya kerjasama semua pihak. (KP) Kita harus menggembleng tenaga untuk bersama-sama berusaha mencari alternatif terbaik bagi mengalakkan masyarakat kita membaca. (AC) Masyarakat kita harus disemai dengan budaya membaca sebagai satu rutin hidup yang mendatangkan manfaat yang amat berguna. Oleh sebab itu, semua pihak terutamanya ibu bapa perlulah menjalankan tanggungjawab memupuk budaya dan membaca agar generasi masa hadapan lebih efektif dan berkeupayaan. (H) Sesungguhnya, generasi muda yang berilmu pengetahuan tinggi ini merupakan aset penting untuk pembangunan negara yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.


Penutup
Teknik yang dibincangkan tadi diharapkan dapat membantu murid-murid dalam menghuraikan dan mengembangkan isi karangan dengan baik. Diharapkan juga murid-murid dapat membina setiap perenggan karangan dengan teratur dan seimbang. Perenggan pendahuluan, perenggan isi, dan perenggan kesimpulan akan menjadi seimbang jika olahan dan huraian dirancang dengan baik dan jumlah perkataan yang dikehendaki akan dapat dipenuhi oleh murid-murid. Di samping itu, murid-murid juga dinasihatkan agar membaca bahan-bahan bacaan yang relevan dan sesuai untuk membantu proses pengolahan dan pengembangan isi karangan. Murid-murid turut digalakkan membaca suratkhabar Utusan Malaysia dan Berita Harian, majalah Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Pelita Bahasa, Fokus, Kosmik, dan sebagainya. Selain itu, murid-murid juga dinasihatkan supaya banyak berlatih untuk mengembangkan isi karangan supaya tidak menghadapi masalah semasa berada di dalam dewan peperiksaan. Selamat mencuba formula yang dicadangkan ini.

Comments
* The email will not be published on the website.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING